Selesai sudah Program Uzlah 2011/2012.Program ini bertujuan untuk memimpin semua barisan Exco mengenalpasti tanggungjawab masing-masing dan melatih mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi bagi menghadapi cabaran dari dunia luar.Selain itu, program Uzlah ini memupuk hubungan silaturrahim di antara jemaah dalam saf pimpinan 2011/2012. Program ini juga dengan secara tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada setiap ahli saf bahawa betapa pentingnya berjemaah.
Moralnya, apabila kita melakukan sesuatu secara berjemaah, banyak perkara yang dapat diselesaikan dengan mudah kerana kita berpeluang untuk bertukar-tukar fikiran, idea dan berkongsi pengalaman bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Bahkan ISLAM sendiri membawa satu konsep penting kepada umatnya iaitu melakukan sesuatu perkara atau kerja secara berjemaah bagi memudahkan mencari penyelesaian terutama dalam perkara berkaitan urusan agama serta kehidupan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu".(Surah Ali-Imran, ayat 103)
Firman Allah itu menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menitikberatkan semangat bersatu. Malah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan".(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai".(Hadis riwayat Ahmad)
Dapatlah dikatakan manusia yang selalu bersengketa dan sukar untuk hidup secara berjemaah hanya mementingkan dirinya saja. Umar Al-Khattab pernah berkata:
"Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan".(Hadis riwayat Ahmad)
Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam program ini. Selamat maju jaya dan
melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan semoga bertemu lagi di dalam program-program yang akan datang.
InsyaAllah...
p/s : Gambar-gambar program boleh lihat di Facebook PPI KSHAS




