Jalinan ukhwah

Tuesday, 11 November 2008

Uzlah PPI II 07/08

Pada 9 hingga 10 November 2008 telah diadakan Program Uzlah PPI II bertempat di Pusat Islam Ibnu Khaldun. Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Uzlah PPI yang sebelumnya. Program ini melibatkan saf pimpinan PPI dan mentor jemputan, iaitu terdiri daripada mantan-mantan PPI.

Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada saf pimpinan PPI mengenai matlamat serta halatuju PPI. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah membincangkan aktiviti-aktiviti PPI pada semester akan datang, menyiapkan proposal program dan mengemaskinikan takwim PPI. Selain itu, slot motivasi diri turut diadakan. Pada sebelah petang pula, satu bentuk acara permainan telah diadakan. Semua peserta program telah menyertai aktiviti tersebut.

Pada akhir program, semua exco PPI dapat menyiapkan proposal program masing-masing. Kesemua proposal tersebut telah diserahkan kepada penasihat persatuan untuk diteliti.

Program Uzlah PPI harus diteruskan pada masa akan datang bagi melancarkan lagi perancangan persatuan. Sekiranya program seumpama ini akan dilaksanakan lagi, diharapkan pihak berwajib dapat memberikan sedikit bantuan kewangan bagi menampung kos makanan peserta.

Thursday, 23 October 2008

Solat Hajat

Lujnah Musolla Persatuan Pengajian Islam telah menganjurkan majlis solat hajat dan bacaan Yaa Sin sempena peperiksaan akhir semester. Sepanjang sesi 2008/2009, sebanyak 3 kali majlis seumpama ini telah diadakan di Pusat Islam Ibnu Khaldun.

Majlis solat hajat ini biasanya diadakan seminggu sebelum minggu peperiksaan bermula. Bagi saf pimpinan PPI sesi 2008/2009, majlis solat hajat pertama kalinya telah dianjurkan pada 13 Mac 2008, sempena peperiksaan akhir semester 2, tahun pengajian 2007/ 2008. Pada semester yang seterusnya, semester 1, tahun pengajian 2008/2009, majlis yang sama telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 16 Oktober 2008 dan 23 Oktober 2008. Hal ini adalah kerana pelajar-pelajar tahun asas menduduki peperiksaan akhir semester awal 2 minggu daripada pelajar-pelajar peringkat ijazah.

Antara pengisian yang dijalankan ialah solat Maghrib, Isyak dan Hajat berjemaah, tazkirah ringkas serta bacaan surah Yaa Sin. Imam-imam yang mengetuai majlis ini terdiri daripada saf pimpinan PPI sendiri. Dalam pada itu, sebelum majlis solat hajat dilaksanakan, poster dan notis pemberitahuan akan ditampal di desasiswa-desasiswa dan juga di blok akademik. Hebahan akan dilakukan seminggu sebelum majlis solat hajat tersebut.

 Diharapkan majlis solat hajat ini akan diteruskan dari generasi ke generasi. Pihak PPI dan pengurusan juga diharapkan dapat memberi sumbangan dalam bentuk air mineral dan makanan untuk jamuan ringan kepada pelajar-pelajar yang menghadiri majlis ini.

Monday, 22 September 2008

Smart Solat

Pada 20-21 September 2008, buat julung-julung kalinya Lujnah Integrasi dan Perpaduan (InP) telah menganjurkan program Smart Solat. Program ini telah diadakan di Pusat Islam Ibnu Khaldun dan seramai 50 orang ahli PPI telah menyertai program ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada cara-cara solat yang betul. Selain daripada itu, pelajar-pelajar juga dapat belajar cara membaca ayat-ayat suci Al Quran dengan betul. Para pelajar berpeluang untuk meningkatkan kemahiran teknik-teknik bersolat yang betul, yang mana ianya sangat dituntut oleh agama.

Program ini telah dikendalikan oleh Ustaz Zulkarnain Ahmad dari Sekolah Kebangsaan Pancing Selatan, Kuantan. Beliau juga telah dijemput untuk sama-sama berkampung selama dua hari satu malam bersama para peserta di Pusat Islam Ibnu Khaldun.

Antara pengisian yang ada ialah qiamullail, bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai serta latihan dalam kumpulan. Dalam pada itu, Program ini turut dihadiri oleh Encik Amin Bin Tasripan, Timbalan Pendaftar UNITEN KSHAS.

Program ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada peserta, malah ada di antara mereka memohon untuk memanjangkan lagi tempoh program. Namun begitu, pihak urusetia mengalami masalah kerana kurangnya komitmen daripada kalangan ahli saf pimpinan PPI sendiri. Hal ini mungkin disebabkan oleh kesibukan mereka sebagai pelajar dalam menyiapkan kertas kerja dan menduduki kuiz.

Diharapkan agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih menarik, bukan sekadar ceramah dan dapat dikendalikan dengan lebih teratur oleh pihak saf pimpinan.

Friday, 12 September 2008

Iftar

Sempena bulan Ramadhan 1429 H, Unit Agama dan Hal Ehwal Islam UNITEN KSHAS dengan kerjasama Lujnah Musolla PPI telah menganjurkan beberapa aktiviti keagamaan. Antaranya ialah majlis berbuka puasa di Pusat Islam Ibnu Khaldun, tadarus Al Quran, dan solat tarawikh. 

Pada setiap hari Isnin sehingga Khamis, juadah berbuka puasa telah disediakan dan pelajar-pelajar UNITEN dijemput untuk berbuka puasa beramai-ramai. Dalam pada itu, pada setiap malam, solat Maghrib, Isyak dan tarawikh berjemaah turut diadakan. Bagi mengimamkan solat tarawikh, Unit Agama UNITEN KSHAS telah mmbuat jadual imam yang terdiri daripada ustaz-ustaz di UNITEN. 

Dalam pada itu, Lujnah Musolla turut bekerjasama dengan Lujnah Tarbiyah dan Kepimpinan (T&K) untuk menganjurkan majlis tadarus Al-Quran. Majlis tadarus Al Quran ini merupakan acara wajib setiap kali tibanya bulan ramadhan. Tadarus ini telah diadakan pada setiap kali selepas solat tarawikh dan melibatkan saf pimpinan, AJK PPI dan SG PPI

Disamping itu, majlis ini turut terbuka kepada pelajar-pelajar UNITEN yang lain. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tidak mendapat maklum balas yang positif dan hanya segelintir pelajar sahaja berminat menyertai tadarus Al Quran ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan promosi dijalankan.

Para peserta tadarus Al Quran telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ini telah dibahagikan juzu’ Al Quran yang perlu dihabiskan sebelum Nuzul Al Quran. Sebelum hari Nuzul Al Quran, semua kumpulan talah tamat menghabiskan bacaan Al Quran dari juzu’ 1 sehingga juzu’ 30.

Sesungguhnya, aktiviti keagamaan seperti ini patut diteruskan dan perlu diadakan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, bahkan setiap hari. Walau bagaimanapun, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan bagi menjalankan usaha mempromosi dan menarik minat pelajar UNITEN menyertai aktiviti-aktiviti seumpama ini.

Saturday, 30 August 2008

PEKAYA

Pada 29 Ogos 2008, Persatuan Pengajian Islam telah menerima undangan daripada pihak Persatuan Kebajikan Anak Yatim Negeri Pahang (PEKAYA) untuk mengendalikan program motivasi kepada anak-anak yatim sekitar daerah Pekan. Program ini telah dianjurkan hasil kerjasama antara Persatuan Pengajian Islam, PEKAYA dan juga Persatuan Rakan Sebaya (PRS).

Program ini telah dilaksanakan di Pekan, Pahang. Seramai 15 orang wakil PPI dan PRS telah menyertai program ini. Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan motivasi anak-anak yatim yang bakal menduduki PMR dan SPM.

Dalam program kali ini, wakil PPI dan PRS telah bertindak sebagai fasilitator program. Pihak PPI juga telah menyediakan beberapa modul untuk berbentuk latihan dalam kumpulan, yang akan dijalankan bersama para pelajar.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi PEKAYA, Dato’ Ishak, merangkap Adun Daerah Pekan, Pahang pada pukul 5.30 petang. Di akhir program, pihak PEKAYA telah memberi maklum balas yang positif kepada jawatankuasa pelaksana. Program seumpama ini sememangnya patut diteruskan dan ini secara tidak langsung member peluang kepada pihak persatuan untuk bekerjasama dengan persatuan yang lain bagi mengendalikan sesebuah program.

Sunday, 10 August 2008

EKSPEDISI MENDAKI BUKIT RIDAN

Pada 8 sehingga 9 Ogos 2008, Lujnah Dakwah Islamic Outreach, PPI telah menganjurkan Ekspedisi Mendaki Bukit Ridan. Program ini telah disertai oleh 96 orang peserta.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental dalam diri peserta. Selain daripada itu, para peserta berpeluang mempelajari cara-cara bersolat di dalam hutan. Program ini turut membuka mata para peserta betapa pentingnya menjaga alam sekitar, flora fauna.


Bagi melancarkan lagi program ini, PPI telah memohon kerjasama daripada pihak kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pinggir Pelangi, Muadzam Shah, Pahang.

Ekspedisi dua hari ini telah bermula pada 8 Ogos 2008, para peserta telah berkumpul di PIIK untuk dibahagikan kepada kumpulan kecil dan diberi taklimat oleh Biro Program. Pada keesokan paginya, para peserta dikehendaki mendirikan qiamullail dan pada jam 7.30 pagi, para peserta telah bertolak ke Kem PLKN Pinggir Pelangi.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Misyael, Penolong Pendaftar HEP Uniten KSHAS, dan pendakian Bukit Ridan bermula pada jam 8.45 pagi, dengan diketuai oleh Encik Jaafar, guru pelatih kem PLKN Pinggir Pelangi.

Antara aktivitinya ialah slot penerangan tentang cara-cara bersolat di dalan hutan dan dalam keadaan darurat. Peserta juga telah melakukan beberapa latihan dalam kumpulan yang menuntut kesabaran dan cabaran mental peserta.


Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Komanden Kem PLKN Pinggir Pelangi. Tepat jam 3.30 petang, para peserta telah bertolak balik ke kampus.

Program seumpama ini merupakan julung kali diadakan oleh PPI dan telah memberi satu pengalaman yang menyeronokkan.

Thursday, 7 August 2008

SESI PEMILIHAN AJK PERSATUAN PENGAJIAN ISLAM SESI 2008/2009

PPI UNITEN KSHAS telah menjalani sesi pemilihan AJK PPI bagi sesi 2008/2009. Pihak PPI mengambil masa selama dua minggu untuk memilih AJK yang benar-benar layak dan mampu bekerja bagi membantu saf pimpinan.

Pemilihan AJK PPI telah melibatkan tiga fasa iaitu;
Fasa Pertama: PPI telah menyediakan borang AJK untuk diisi oleh pelajar UNITEN yang berminat untuk memohon menjadi AJK PPI.
Fasa Kedua: Pihak Majlis Tertinggi PPI telah membuat penapisan borang
Fasa Ketiga: Menyenaraikan nama calon-calon AJK dikeluarkan bagi sesi temuduga.

Pencalonan AJK PPI terbuka kepada semua pelajar muslim. Temuduga pemilihan AJK PPI telah dijalankan oleh pihak Majlis Tertinggi PPI pada 6 Ogos 2008 di Pusat Aktiviti Mahasiswa (PAM) dan senarai nama calon yang berjaya menjadi AJK dikeluarkan seminggu selepas tarikh temuduga.

Seramai 35 orang calon telah berjaya menjadi AJK PPI dan telah dibahagi-bahagikan kepada 7 lujnah PPI. Satu perjumpaan antara saf pimpinan dan AJK PPI juga telah diadakan pada 4 September 2008. Perjumpaan ini merupakan langkah awal untuk AJK mengenali exco masing-masing dan mereka telah diberi penerangan oleh exco masing-masing mengenai skop tugasan mereka.

Dengan adanya AJK PPI, kerjasama antara ahli-ahli PPI dapat dijalinkan dengan lebih erat. Kualiti kerja PPI juga dapat ditingkatkan dengan adanya bantuan daripada mereka.

Sunday, 27 July 2008

PROGRAM 1ST GATHERING PPI

PPI UNITEN KSHAS telah menganjurkan Program 1st Gathering PPI pada 26 Julai 2008. Program ini telah diadakan di Dewan Ilmu dan seramai 160 orang ahli telah menyertai program ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan ahli-ahli PPI, lebih-lebih lagi ahli yang baru. Selain itu, program seumpama ini dapat mengeratkan ukhuwah antara ahli-ahli PPI. Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi pengenalan saf PPI, pembahagian kumpulah usrah, tayangan video dan juga latihan dalam kumpulan.

Melalui program ini, para pelajar Uniten dapat mengenali PPI dan saf pimpinan dengan lebih dekat. Mereka juga telah diberi pendedahan mengenai idea dan konsep usra, atau lebih dikenali sebagai Smart Group (SG) untuk menarik minat para pelajar bagi sentiasa mengikuti aktiviti dan program yang dianjurkan oleh PPI.

Di akhir program, para pelajar telah diberi peluang untuk memberi komen dan cadangan kepada PPI untuk meningkat mutu dan kualiti kerja. PPI telah mendapat maklum balas yang sangat positif dan diharapkan PPI dapat meneruskan perjuangan dakwah ke jalan Allah.

Monday, 21 July 2008

Carta Organisasi PPI Sesi 08/09

Ini merupakan Saf Pimpinan Persatuan Pengajian Islam Sesi 08/09.

Presiden
Wan Haziq Naim Bin Wan Johan

Timbalan Presiden
Muhammad Sobrie Bin Sallehuddin

Timbalan Presiden (Helwani)
Zaimah Binti Herman

Setiausaha Agung
Muhammad Tajul Khaizimi Bin Abdullah

Setiausaha 2
Nabihah Binti Mazlan

Bendahari Kehormat
Muhammad Dhiyauddin Bin Saharudin

Bendahari 2
Nor Maisarah Binti Mohammad

Exco Tarbiyah dan Kepimpinan (T&K)
Abdul Muizz Bin Abd. Ghani
Masyitah Binti Abd. Razak

Exco Dakwah Islamic Outreach (DIO)
Izzul Zunnurain Bin Darusamin
Nadzirah Binti Ramdzan

Exco Kebajikan
Zulhilmi Bin Sariman
Nur 'Azizah Binti Zawawi

Exco Ekonomi
Muhamad Shahpis Alif Bin Salleh
Siti Norfaezah Binti Ab Hamid

Exco Penerbitan dan Publisiti (P&P)
Muhammad Isham Bin Iskandar
Amanina Fasihah Binti Mohd Zain

Exco Integrasi dan Perpaduan (I&P)
Mohd Khairi Bin Ali Hassan
Nashrah Binti Zamri

Exco Musolla
Muhammad Syafiq Bin Mohd Zaid
Nur Hidayah Binti Sampol
Nurul Hafizah Binti Mohd Shopki

Sunday, 20 July 2008

Tamrin Nuqoba'

Lujnah Tarbiyah dan Kepimpinan (T&K), Persatuan Pengajian Islam telah menganjurkan Program Tamrin Nuqoba’. Program ini telah diadakan pada 18 sehingga 19 Julai 2008 bertempat di Pusat Islam Ibnu Khaldun.

Tujuan program ini diadakan ialah untuk membincangkan silibus-silibus usrah yang akan diaplikasikan dalam Smart Group (SG). Peserta program ini terdiri daripada saf pimpinan PPI dan juga naqib serta serta naqibah SG. Lujnah T&K telah menjemput saf pimpinan PPI Kampus Putrajaya bagi mengendalikan program ini.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah qiamullail, latihan dalam kumpulan dan perbincangan isu SG. Para naqib dan naqibah telah diberi pendedahan awal mengenai SG dan telah diberi peluang untuk membincangkan isu-isu dan tajuk-tajuk usrah yang akan dibincangkan dalam SG kelak. Dalam pada itu, para peserta juga telah membincangkan masalah-masalah yang bakal timbul daripada SG dan telah bersama-sama mencari penyelesaian bagi masalah tersebut. Saf pimpinan Kampus Putrajaya turut membantu menyumbangkan idea dan pendapat dalam sesi perbincangan ini.

Program dua hari ini telah berlangsung dengan baik. Kerjasama daripada pihak PPI Kampus Putrajaya juga sangat dihargai. Diharapkan program dua hala antara PPI KSHAS dan PPI Kampus Putrajaya dapat diperbanyakkan pada masa hadapan.

Sunday, 29 June 2008

JUALAN PPI SEMPENA PENGAMBILAN PELAJAR BARU KEMASUKAN JUN 2008

Pada 28 Jun 2008, Lujnah Ekonomi PPI telah membuka gerai jualan sempena kemasukan pelajar baru kemasukan Jun 2008. Gerai jualan telah dibuka di perkarangan auditorium, Desasiswa Ilmiah dan juga Desasiswa Bestari.

Aktiviti ini dapat memberi pendedahan awal kepada para pelajar baru mengenai PPI dan dalam masa yang sama, dapat meningkatkan tabung persatuan. Antara barang yang telah dijual ialah makanan, barang keperluan peribadi, tudung, dan lain-lain.

Diharapkan agar aktiviti dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan pihak HEP dapat membenarkan persatuan dan kelab membuka gerai jualan sepanjang minggu orientasi pelajar baru berlangsung.

Wednesday, 25 June 2008

Jualan Orientasi

Sempena kemasukan pelajar baru pengambilan Jun 08/09 PPI telah mengadakan jualan. Jualan dijalankan di bawah kerjasama Lujnah Ekonomi dan Lujnah Kebajikan yang diketuai oleh saudari Faezah dan saudari Azizah.
Persiapan jualan telah bermula sejak 24/6/2008 lagi bertempat di Pusat Islam Ibnu Khaldun(PIIK). Kaunter jualan dibuka seawal jam 7.30 pagi sehingga 5.00 petang. Seramai 15 ahli jawatankuasa yang terlibat bersama-sama membantu menjayakan jualan ini.Mereka terdiri daripada Pawang, Izzul, Muiz, Panjang, Syafiq, Azwan, Muzaffar, Qusyairi, Faezah, Zaimah, Jijah, Hazirah, Airen, Nut dan Faz.
Bertempat di Audi, kami telah menjual pelbagai makanan seperti bihun goreng, mee goreng, nasi lemak, muffin, sandwich, kuih muih, mee siput dan buah buahan serta pelbagai jenis minuman.Barangan PPI serta beg-beg dari Vietnam turut dijual. Manakala di tempat kediaman (Bestari dan Ilmiah) pula, kami telah menjual pelbagai kelengkapan asrama seperti penyapu, penyodok sampah, gayung, baldi dan sebagainya.

Friday, 20 June 2008

blog dan yahoogroup

Pada sesi kali ini pihak Lujnah Penerbitan & Publisiti (P&P) telah mewujudkan sebuah blog sebagai satu wadah penghubung antara saf pimpinan PPI dengan ahli-ahli PPI yang lain di UNITEN KSHAS ini. Diharapkan semua pihak dapat memperoleh sesuatu dengan wujudnya blog ini. Selaku webmaster blog ini saya berharap jurang yang wujud sebelum ini antara saf pimpinan PPI dengan pelajar lain, yang muslim khasnya dapat dihapuskan. Blog ini dapat dicapai di alamat di bawah.

http://ppiunitenms.blogspot.com/

Disamping itu Lujnah P&P juga telah mewujudkan sebuah yahoogroup. Anda semua sangat dialu-alukan untuk menyertai yahoogroup ini. Alamat yahoogroup tersebut adalah seperti di bawah.

http://groups.yahoo.com/group/ppiunitenms

Wednesday, 9 April 2008

Uzlah PPI 07/08

Uzlah PPI telah diadakan pada 6 hingga 8 April 2008 bertempat di Pusat Islam Ibnu Khaldun. Seramai 23 orang peserta telah menyertai program ini.

Program ini diadakan bertujuan untuk saf pimpinan PPI merancang aktiviti dan program yang bakal dilaksanakan pada semester hadapan. Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli saf pimpinan.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah berpuasa sunat Isnin, qiamullail, pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari Kehormat, gotong-royong membersihkan Pusat Islam Ibnu Khaldun dan merancang takwim aktiviti PPI bagi sesi 2008/2009. Penasihat PPI, Ustazah Noraini Binti Senawi dan HEP Uniten KSHAS juga sempat meluangkan masa bersama-sama saf PPI untuk menyampaikan amanat dan nasihat.

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi PPI juga telah membentangkan halatuju dan objektif persatuan yang baru. Hasil daripada program ini juga, saf pimpinan PPI sesi 2008/2009 bersepakat untuk menukarkan motto PPI iaitu Lestarikan Diri Ke Arah Islam Yang Hakiki.

Pada hari terakhir program, wakil PPI dari Kampus Putrajaya sempat meluangkan masa bersama-sama saf pimpinan dan satu diskusi telah diadakan untuk kami sama-sama bertukar idea. Program ini telah diakhiri dengan laungan takbir widad, yang diketuai oleh Presiden PPI 2008/2009.

Friday, 14 March 2008

penyerahan fail~

Majlis Penyerahan Fail saf PPI 2008/2009 telah diadakan pada 13 Mac 2008 di Pusat Islam Ibnu Khaldun. Majlis ini telah bermula pada jam 7.30 petang dengan solat Maghrib berjemaah diikuti oleh bacaan Yaa Sin dan Solat Hajat.

Mantan saf pimpinan PPI secara rasminya telah menyerahkan fail dan portfolio kepada saf pimpinan PPI sesi 2008/2009 yang baru dilantik pada Muktamar sanawi Kali Ke-6. Pada majlis ini juga, mantan saf pimpinan telah memberikan amanat mereka kepada saf yang baru untuk meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah.

Moga-moga Allah membantu mereka dalam melaksanakan tugas mereka. Sesungguhnya tugas yang dipikul mereka bukanlah mudah.

Sepertimana yang difirman oleh Allah di dalam Al-Quran, Surah As-Saff (Ayat 1-4)

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!


Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.



Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Lokasi pelawat