Pada 20-21 September 2008, buat julung-julung kalinya Lujnah Integrasi dan Perpaduan (InP) telah menganjurkan program Smart Solat. Program ini telah diadakan di Pusat Islam Ibnu Khaldun dan seramai 50 orang ahli PPI telah menyertai program ini.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada cara-cara solat yang betul. Selain daripada itu, pelajar-pelajar juga dapat belajar cara membaca ayat-ayat suci Al Quran dengan betul. Para pelajar berpeluang untuk meningkatkan kemahiran teknik-teknik bersolat yang betul, yang mana ianya sangat dituntut oleh agama.
Program ini telah dikendalikan oleh Ustaz Zulkarnain Ahmad dari Sekolah Kebangsaan Pancing Selatan, Kuantan. Beliau juga telah dijemput untuk sama-sama berkampung selama dua hari satu malam bersama para peserta di Pusat Islam Ibnu Khaldun.
Antara pengisian yang ada ialah qiamullail, bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai serta latihan dalam kumpulan. Dalam pada itu, Program ini turut dihadiri oleh Encik Amin Bin Tasripan, Timbalan Pendaftar UNITEN KSHAS.
Program ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada peserta, malah ada di antara mereka memohon untuk memanjangkan lagi tempoh program. Namun begitu, pihak urusetia mengalami masalah kerana kurangnya komitmen daripada kalangan ahli saf pimpinan PPI sendiri. Hal ini mungkin disebabkan oleh kesibukan mereka sebagai pelajar dalam menyiapkan kertas kerja dan menduduki kuiz.
Diharapkan agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih menarik, bukan sekadar ceramah dan dapat dikendalikan dengan lebih teratur oleh pihak saf pimpinan.
No comments:
Post a Comment