Sempena bulan Ramadhan 1429 H, Unit Agama dan Hal Ehwal Islam UNITEN KSHAS dengan kerjasama Lujnah Musolla PPI telah menganjurkan beberapa aktiviti keagamaan. Antaranya ialah majlis berbuka puasa di Pusat Islam Ibnu Khaldun, tadarus Al Quran, dan solat tarawikh.
Pada setiap hari Isnin sehingga Khamis, juadah berbuka puasa telah disediakan dan pelajar-pelajar UNITEN dijemput untuk berbuka puasa beramai-ramai. Dalam pada itu, pada setiap malam, solat Maghrib, Isyak dan tarawikh berjemaah turut diadakan. Bagi mengimamkan solat tarawikh, Unit Agama UNITEN KSHAS telah mmbuat jadual imam yang terdiri daripada ustaz-ustaz di UNITEN.
Dalam pada itu, Lujnah Musolla turut bekerjasama dengan Lujnah Tarbiyah dan Kepimpinan (T&K) untuk menganjurkan majlis tadarus Al-Quran. Majlis tadarus Al Quran ini merupakan acara wajib setiap kali tibanya bulan ramadhan. Tadarus ini telah diadakan pada setiap kali selepas solat tarawikh dan melibatkan saf pimpinan, AJK PPI dan SG PPI.
Disamping itu, majlis ini turut terbuka kepada pelajar-pelajar UNITEN yang lain. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tidak mendapat maklum balas yang positif dan hanya segelintir pelajar sahaja berminat menyertai tadarus Al Quran ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan promosi dijalankan.
Para peserta tadarus Al Quran telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ini telah dibahagikan juzu’ Al Quran yang perlu dihabiskan sebelum Nuzul Al Quran. Sebelum hari Nuzul Al Quran, semua kumpulan talah tamat menghabiskan bacaan Al Quran dari juzu’ 1 sehingga juzu’ 30.
Sesungguhnya, aktiviti keagamaan seperti ini patut diteruskan dan perlu diadakan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, bahkan setiap hari. Walau bagaimanapun, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan bagi menjalankan usaha mempromosi dan menarik minat pelajar UNITEN menyertai aktiviti-aktiviti seumpama ini.
No comments:
Post a Comment